BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, March 12, 2009

KURSUS: PPPH 1982 AL-TASAWUR AL-ISLAMI (TASAWWUR ISLAM SEMASA PADA PANDANGAN BARAT )

1.0 PENDAHULUAN

Tasawwur Islam merupakan bidang pengajian yang menumpukan kepada pengetahuan dan kefahaman yang menyeluruh mengenai islam. Bidang Tasawwur Islam lebih menjurus kepada penerangan tentang islam dan tertumpu kepada aspek-aspek utama yang sering dikaitkan dengan agama Islam seperti akidah, syariah,dan akhlak. Bidang ini telah membuka minda masyarakat untuk mendalami bidang Tasawwur Islam berkaitan dengan kemanusian dan ketuhanan. Pemahaman yang jitu perlu bagi mengelakkan kekeliruan. Masyarakat perlu memahami isu-isu kehidupan yang luas dan mempengaruhi budaya dan cara hidup dalam sesubuah masyarakat. Ini kerana, ilmu tasawwur islam memberi penjelasan dan pemahaman yang menyeluruh terhadap persoalan-persoalan dalam agama islam.

Konsep tasawwur islam merupakan suatu gambaran yang memerlukan penilaian dan pemikiran serta pemahaman akal sedalam-dalamnya kerana dalam ilmu tasawwur islam ini banyak mengutarakan sesuatu perkara yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar seperti ganjaran kepada sesuatu perbuatan. Konsep ini diamalkan dalam kehidupan seharian berlandaskan ad-din berdasarkan kepada Al-Quran dan Al-Hadith. Bidang ini dapat memperluaskan dan memperkukuhkan kefahaman pelajar tentang pegangan dan pandangan hidup serta memantapkan diri tehadap nilai-nilai hidup islam agar membolehkan mereka menjadi manusia yang berilmu dan berakhlak mulia.

Ilmu tasawwur islam menerapkan nilai-nilai positif dalam setiap individu. Bidang ini menerapkan kesan-kesan positif islam dan berkeupayaan untuk menghadapi cabaran-cabaran baru dalam era globalisasi. Kemajuan sesebuah negara memberi sumbangan yang besar dalam masyarakat. Namun begitu, unsur-unsur budaya asing yang negatif semakin meningkat di samping kerapuhan aspek ketahanan dan jati diri di kalangan masyarakat terutama golongan belia boleh mengancam budaya dan nilai-nilai murni yang diamalkan dalam kehidupan seharian.

Peranan ilmu tasawwur islam sangat penting dalam kehidupan setiap individu. Ini kerana, tasawwur islam merupakan suatu garis panduan yang akan melahirkan sikap dan tindakan yang betul bersesuaian dengan agama islam berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Penekanan ilmu tasawwur islam ini perlu diterapkan dalam segenap lapisan masyarakat melalui pelbagai cara seperti pendidikan.

Ilmu tasawwur yang diamalkan dapat membentuk sistem sesebuah negara seperti sistem kehakiman, pentadbiran, ekonomi dan juga sosial yang dapat menjamin kesejahteraan hidup individu dan masyarakat. Setiap sistem dalam islam adalah bagi menjaga kesejahteraan setiap individu. Sistem ini memberi keadilan kepada segenap lapisan masyarakat. Keadaan ini berbeza dengan cara hidup orang barat yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi semata-mata. Dalam kertas kerja ini mengkaji pandangan barat atau non muslim terhadap tasawwur islam dari tiga aspek iaitu ekonomi, politik dan sosial.

2.0 SISTEM EKONOMI

Sistem ekonomi Islam tidak sama dengan sistem-sistem ekonomi yang lain. Ia berbeza dengan sistem ekonomi lain yang telah diperkenalkan oleh barat. Ia bukan dari hasil ciptaan akal manusia seperti sistem ekonomi konvensional, Ia adalah berpandukan wahyu dari Allah SWT.

Di dalam sejarah dunia, terdapat beberapa sistem ekonomi konvensional yang begitu berpengaruh antaranya seperti kapitalis,sosialis,komunis, dan campuran. Kesemua sistem ekonomi ini mempunyai definisi serta tujuan yang tersendiri dan nyata memandang serong terhadap sistem ekonomi islam.

2.1 Perbezaan dasar antara ekonomi Islam dan konvensional

Di dalam islam sistem ekonominya jauh berbeza dengan sistem ekonomi barat. Perbezaan dasar antara ekonomi Islam dan konvensional boleh dilihat dari beberapa sudut.

2.1.1 Sumber (epistemology)

Sebagai sebuah addin yang syumul, sumbernya berasaskan kepada sumber yang mutlak iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah. Kedudukan sumber yang mutlak ini menjadikan Islam itu sebagai suatu agama (addin) yang istimewa berbanding dengan agama-agama ciptaan lain.

Al-Qur’an dan al-Sunnah ini menyentuh kita mempraktikkan ajaran wahyu tersebut dalam semua kehidupan termasuklah soal muamalat. Perkara-perkara asas muamalat dijelaskan di dalam wahyu yang melibatkan suruhan/galakan dan larangan.

Suruhan seperti makan dan minum menjelaskan tentang tuntutan keperluan asasi manusia, Penjelasan Allah s.w.t tentang kejadianNya untuk dimanfaatkan oleh manusia menunjukkan bahawa alam ini disediakan begitu untuk dibangunkan oleh manusia sebagai Khalifah Allah (al-Baqarah ayat 30).

Larangan-larangan Allah s.w.t seperti riba (al-Baqarah ayat 275) perniagaan babi, judi, arak dan lain-lain kerana perkara-perkara tersebut menceroboh fungsi manusia sebagai khalifah tadi. Oleh itu sumber rujukan untuk manusia dalam semua keadaan termasuklah ekonomi ini adalah lengkap. Kesemuanya itu mejurus kepada suatu paksi iaitu pembangunan seimbang rohani dan jasmani manusia berasaskan tauhid.

Manakala ekonomi konvensional pula ianya tidak bersumber atau berlandaskan wahyu. Oleh itu ianya lahir dari pemikiran manusia yang boleh berubah bila-bila masa sahaja berdasarkan pengalaman atau maklumat yang baru.

2.1.2 Halatuju Kehidupan

Halatuju ekonomi Islam membawa kepada konsep al-falah (kejayaan) di dunia dan akhirat tetapi ekonomi sekular untuk kepuasan di dunia sahaja. Ekonomi Islam meletakkan manusia sebagai khalifah dimuka bumi ini di mana segala bahan-bahan yang ada di bumi dan di langit adalah dipermudahkan untuk manusia.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan ia memudahkan bagi kamu malam dan siang, matahari serta bulan dan bintang-bintang dimudahkan dengan perintahNya untuk keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mahu memahaminya. Dan apa-apa jua yang dijadikan untuk kamu di bumi yang berlainan jenisnya (dimudahkan jua untuk kegunaan kamu). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi satu tanda bagi kaum yang mahu mengingati ni’mat Allah itu.” (Surah al-Nahl ayat 12 – 13)

Kesemuanya adalah bertujuan untuk beribadat kepada Allah S.W.T sama ada berkaitan dengan soal ibadat yang khusus atau ibadat yang umum.Manusia merupakan makhluk yang tidak boleh bersendirian. Oleh itu dalam soal pemilikan harta terdapat harta milik individu dan juga terdapat hak-hak harta yang menjadi hak masyarakat umum. Oleh itu sebarang pencabulan atau pencerobohan kepada hak milik orang lain adalah suatu kesalahan.

2.1.3 Konsep Harta Sebagai Wasilah

Di dalam Islam harta bukanlah merupakan matlamat hidup tetapi adalah wasilah atau perantara bagi merealisasikan perintah Allah swt. Matlamat hidup yang sebenar ialah seperti firman Allah swt surah al An’am ayat 162 yang bermaksud:

“Katakanlah: ‘Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”

Merealisasikan perintah Allah swt yang sebenarnya ini akan membawa kepada ketenangan hidup yang hakiki. Setiap Muslim percaya bahawa Allah swt merupakan Pencipta yang mampu memberikan ketenangan hakiki bukannya harta. Untuk itu harta bukanlah tujuan sebenar kehidupan tetapi adalah sebagai jalan bagi mencapai nikmat ketenangan kehidupan di dunia dan berterusan hingga ke alam akhirat.

Ini berbeza dengan sekular yang meletakkan keduniaan sebagai matlamat yang tidak mempunyai kaitannya dengan Tuhan dan akhirat sama sekali. Ini sudah tentu berlawanan dengan Islam. Bagi merealisasikan matlamat hidup menurut aliran sekular ini mereka menggubal sistem-sistem mengikut selera nafsu mereka bagi memuaskan kehendak material mereka semata-mata.

Oleh kerana sistem sekular adalah berteraskan kepada kuntungan tanpa mempedulikan nilai wahyu, maka mereka mengutamakan kepentingan individu atau kepentingan golongan tertentu serta menindas golongan atau individu yang lemah dan tertindas di atas prinsip siapa kuat dialah yang berkuasa (survival of the fittest).

Antara sistem yang digubal ialah konsep riba. Riba bukanlah suatu yang baru. Ianya sudah lama dipraktikkan sejak dahulu lagi. Sebenarnya riba inilah yang membantut pertumbuhan ekonomi manusia. Ianya diibaratkan sebagai lintah yang menghisap darah manusia di mana akhirnya sisa-sisa hidup peminjam hutang secara riba terpaksa dihambakan kepada tuan punya harta tersebut yang semakin lama semakin bertambah hutangnya apabila bayaran gagal diselesaikan dalam tempohnya.

Di dalam Islam untuk mendapat keuntungan maka alternatif yang ada bukanlah berasaskan kepada riba tetapi berasaskan kepada sistem jual beli dan mudharabah. Di dalam Islam Allah s.w.t menjelaskan perbezaan antara riba dan jual beli iaitu jual beli adalah dihalalkan tetapi riba adalah diharamkan. Jual beli ialah kontrak yang berteraskan saling reda meredai tanpa sebarang hasutan atau matlumat yang palsu. Setelah masing-masing berpuas hati maka dijalankan aqad yang jelas melalui ijab dan qabul.

Sekalipun konsep jual beli ini nampak sama dengan sistem sekular tetapi sistem Islam adalah berteraskan niat yang ikhlas kerana Allah s.w.t. (yang menghubungkan dengan kejayaan akhirat – tidak seperti sistem sekular untuk kepentingan duniawi semata-mata) tanpa ada sebarang bentuk penipuan dan provokasi untuk kepentingan diri semata-mata. Di samping itu juga aktiviti-aktiviti yang dijalankan tidak terlibat dengan perkara yang merosakkan fungsi manusia seperti penjualan barang-barang yang menyalahi syarak seperti arak, daging babi dan lain-lain.

Di dalam sistem muamalat Islam pelaburan merupakan suatu yang tidak asing lagi diperkatakan. Di dalam hal ini sistem mudharabah adalah merupakan suatu yang praktikal untuk dilaksanakan. Di samping ianya tidak berteraskan riba ia juga memberikan pengagihan keuntungan yang saksama kepada setiap pemodal atau sekiranya menganggung kerugian maka setiap pemodal menanggung kadar kerugian yang sama.

2.2 Kaedah-kaedah Asas Dalam Sistem Ekonomi Islam

Oleh kerana sistem ekonomi Islam bermatlamatkan mencari keredhaan Allah swt semata-mata yang berbeza dengan sistem ekonomi konvensional, maka terdapat garis panduan bagi menjadikan sistem ekonomi itu teratur, seimbang dan diredai oleh Allah swt serta membahagiakan sesama manusia.

2.2.1 Harta merupakan hak Allah swt yang mutlak

Ini merupakan rukun asasi dalam akidah Muslim seperti firman Allah swt yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki”.

Manusia sebagai khalifah dimuka bumi, maksud firmanAllah: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi” bertanggungjawab untuk menggunakan dan membelanjakan apa sahaja yang dikurniakan oleh Allah swt di muka bumi mengikut perintah Allah swt:

“Dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu sebagai wakil untuk menguasainya”.

Bertitik tolak dari inilah dasar kebebasan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini terkandung menerusi amalan pemikirannya bagi mencari pendekatan kaedah-kaedah pelaburan, penggunaan sumber-sumber alam dan usaha-usaha dalam batas-batas yang diredhai Allah swt.

2.2.3 Aktiviti perekonomian merupakan suatu ibadat

Unsur asasi untuk mendapatkan rezeki ialah pekerjaan.Lantaran itulah kita dapati Islam memberi penekanan dari segi kerja dan menyeru manusia agar bekerja bagi menghasilkan maslahat dunia dan akhirat. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Apabila selesai sembahyang maka bertebaranlah di muka bumi dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah serta ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu berjaya (dunia dan akhirat)”.

Dengan ini aktiviti ekonomi termasuklah aktiviti pasar merupakan suatu ibadat. Umar al-Khattab berkata: “Tidak ada seorang rakyat yang datang kepadaku lalu ia meninggal, lebih aku cintai melainkan yang berurusan jualbeli denganku untuk keperluan kaum keluargaku”.

2.2.4 Asal sesuatu adalah harus

Sesungguhnya asal bagi ciptaan Allah swt terhadap sesuatu ialah halal dan harus, tidak diharamkan kecuali terdapat dalil nas yang jelas mengharamkannya. Ini adalah pendangan majority ulama’ Islam. Oleh itu segala aktiviti adalah harus dan halal selagi tidak melibatkan diri dengan yang diharamkan oleh Allah swt menerusi nas. Walau bagaimanapun larangan Allah swt tidak banyak berbanding dengan aktiviti yang harus dan halal yang begitu luas.

2.2.5 Uruf dan adat diambil kira dalam transaksi

Uruf ialah adat yang dipraktikkan di kalangan manusia, manakala adat yang khas bagi individu-individu tidak dinamakan uruf. Adat dan uruf pada asalnya mempunyai makna yang sama tetapi ahli-ahli usul dan ahli-ahli Fikh menentukan bahawa uruf adalah lebih umum dari adat.

2.2.6 Mencapai Maslahat Khas dan Am

i)Intipati syariah ialah maslahah seperti kata Imam al-Syatibiy: (sesungguhnya diletakkan syariah itu ialah untuk kemaslahatan hamba di dunia dan akhirat)

ii)Mengambil kira maslahah individu dan maslahah ramai/umum. Kaedah ini yang membezakan antara sistem kapitalis dan Sosialis/Komunis di mana kapitalis yang menekankan maslahah individu manakala Sosialis menekankan maslahat umum.

iii) Mengutamakan maslahah umum apabila bercanggah dengan maslahah individu. Di antara kaedah fikah di dalam soal ini ialah: (Apabila berlaku dua kerosakan, hendaklah dipilih yang paling ringan)

2.2.7 Mengetahui hukum-hakam

Seseorang yang ingin bermuamalat semestinya mengetahu tentang soal hukum hakam, haram dan halal serta memenuhi syarat yang ditetapkan. Menurut Imam Nawawi, seseorang yang berurusan di dalam ekonomi sekurang-kurangnya dapat mengetahui hukum h akam yang lahirnya diketahui oleh orang ramai.

Sistem ekonomi Islam atau dikenali sebagai muamalat adalah suatu sistem yang mantap kerana berdasarkan wahyu yang jelas dari Yang Maha Berkuasa iaitu Allah swt. Namun ianya menjadi agak sempurna dan rumit terutamanya akhir-akhir ini, disebabkan kerana terikut dengan rentak dan cara hidup serta pendidikan barat yang mengabaikan aspek yang paling penting kepada manusia iaitu pembangunan manusia hakiki berteraskan paradigma tauhid bagi menuju pengiktirafan Allah swt bagi mencapai al-falah dan bukannya semata-mata bangunan yang barangkalinya didiami oleh manusia-manusia yang ketandusan jiwa dan akhlaknya

3.0 SISTEM SOSIAL

Perkataan sosial bererti setiap aktiviti atau kegiatan manusia dalam masyarakat. Istilah ini juga apabila dihubungkaitkan dengan manusia membawa pengertian kepada sebarang kelakuan atau sikap yang dipengaruhi oleh pengalaman-pengalaman dan tingkah laku orang lain yang telah lalu dan semasa, sama ada secara langsung atau secara tidak langsung.

Manusia sejak dahulu hingga hari ini mewujudkan kehidupan masyarakat mereka menurut berbagai bagai teori sosial. Islam sebagai al Din yang bersifat rabbani meletakkan alas asas utama kehidupan sosial yang bersih daripada sebarang keterlaluan dan ketidakseimbangan.

Masyarakat atau society menurut Islam adalah satu panggabungan manusia yang diwujudkan melalui ikatan undang-undang rabbani bagi mencapai tujuan kehidupan kemasyarakatan yang harmoni dan aman damai. Ia merupakan satu peraturan hidup yang berdasarkan kepada Tauhidullah dan kepatuhan terhadap Illayiyyahnya. Sistem sosial Islam merangkumi keseluruhan hubungan kemasyarakatan yang saling kait mengait di antara satu sama lain dan kekuatannya terletak pada undang-undang yang mengendalikan sistem tersebut.

Dalam peraturan sosial Islam, undang-undang Allah mendahului masyarakat dan menguasainya. Peraturan-peraturan sosial yang selainnya yang tidak didahului oleh undang-undang dan peraturan-peraturan Allah digubal untuk memenuhi kepentingan-kepentingan yang menurut tanggapan 'aqal dan hawa nafsu manusia. Undang-undang kepada system-sistem bukan Islam berubah menurut perubahan masyarakat, sedangkan undang-undang rabbani tetap dan tidak membenarkan perjalanan masyarakat menyimpang daripada apa yang ditetapkan oleh Allah.

3.1 Asas asas Sistem Sosial Islam

Di dalam islam, al Qur'an dan al Sunnah telah menggariskan beberapa asas utama kehidupan sosial bagi manusia, di antaranya:

3.1.1 Bekerjasama Untuk Kebaikan

Bekerjasama antara satu sama lain untuk melaksanakan kebajikan dan tidak bekerjasama untuk dosa dan kezaliman. Firman Allah yang mafhumnya:

"Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan janganlah tolong menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran." (Al Ma'idah: 2)

"Dan orang orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah daripada yang mungkar, mendirikan salat, menunaikan zakat, dan mereka ta'at kepada Allah dan Rasul Nya...' (At Taubah: 71)

3.1.2 Hubungan Sesama Manusia adalah Satu 'lbadah

Segala bentuk perhubungan di antara manusia, adalah dengan tujuan untuk melaksanakan keta'atan kepada Allah. Firman Allah yang mafhumnya:

"Mereka diliputi kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (al Din) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia." (Ali 'Imran: 112)

"Hai orang orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah sebenarbenar taqwa kepada Nya; dan janganlah sekali kali kamu mati melainkan dalam keadaan sebagai muslim. Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (al Din) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai." (Ali 'Imran: 102-103)

Menjaga perjanjian dengan manusia dan bersatu padu di dalam masyarakat adalah perintah perintah Allah. Menta'ati perintah Allah adalah 'ibadah kepada Nya.

3.1.3 Tujuan Membina Masyarakat ialah untuk Menegakkan 'Aqidah Tauhid

Dasar kehidupan bermasyarakat adalah untuk menegakkan kepemimpinan Islam yang menyeru dan menegakkan asas asas 'aqidah tauhid kepada seluruh masyarakat. Firman Allah yang mafhumnya:

"(Iaitu) orang orang yang jdca Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan salat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar, dan kepada Allah kembali segala urusan." (Al Hajj: 41)

3.1.4 Tidak Merosakkan dan Tidak Membantu dalam Merosakkan Masyarakat

Dasar kehidupan bermasyarakat ialah untuk menghindarkan sebarang kerosakan terhadap sesiapa di dalam masyarakat sama ada dari segi i'tiqad, jiwa, 'aqal, keturunan dan harta benda. Firman Allah yang mafhumnya: "Jangan kamu berbuat kejahatan di permukaan bumi sesudah ia menjadi baik." (A1 A'raf: 56).

3.2 Ciri-ciri Sistem Sosial Islam

3.2.1 Persamaan di Kalangan Umat Manusia

Sistem sosial Islam melihat perbezaan bangsa, warna kulit, bahasa dan kewarganegaraan sebagai perkara tabi'i dalam pertumbuhan dan perkembangan tamaddun manusia. Islam tidak bertujuan untuk melenyapkan perbezaan perbezaan seperti ini ataupun mengetepikannya memandangkan kebaikan kebaikan yang terdapat dalamnya dapat memudahkan manusia mengenal di antara satu sama lain.

Firman Allah yang mafhumnya:

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang laki Iaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu bangsa bangsa dan bersuku suku supaya kamu sating kenai mengenal...'' (Al Huj urat: 13)

Namun demikian Islam menolak sikap membeza bezakan darjat ketinggian sesuatu kumpulan manusia di atas dasar bangsa, wama kulit, bahasa, kewarganegaraan dan seumpamanya. Islam menetapkan bahawa menentukan darjat manusia semata mata di atas alasan alasan tersebut sebagai satu manifestasi jahiliyyah yang menyesatkan. Ini kerana bumi ini sejak dahulu. hingga ke akhir tamaddun kemanusiaan adalah berasal daripada asal keturunan yang satu. Oleh kerana itu mereka adalah bersaudara dalam status sebagai manusia.

Semua manusia, tanpa mengira wama kulit atau bahasa mereka di dalam sistem sosial Islam adalah sama. Warna kulit dan bahasa tidak dapat mengurangkan status kemanusiaan mereka. Hanya 'aqidah dan keimanan sahaja yang boleh membezakan manusia sebagaimana yang ditegaskan oleh al Qur' an.

Firman Allah yang mafhumnya:

"Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu." (Al Hujurat: 13)

Oleh itu, masyarakat Islam tegak di atas dasar 'aqidah. Sesiapa yang menganut 'aqidah ini maka ia menjadi anggota kepada masyarakat tersebut dan mempunyai hak yang sama dengan sesiapa sahaja tidak menganut 'aqidah Islam, mereka tetap diberikan hak hak dan dapat tinggal di bawah naungan masyarakat Islam di atas dasar persamaan daripada segi kemanusiaan.

3.2.2 Pemeliharaan Kemuliaan Akhlak

Di antara ciri ciri yang tertonjol di dalam sistem sosial Islam ialah ketegasannya dalam memelihara akhlak setiap anggota dalam masyarakat. Pentingnya pemeliharaan akhlak yang mulia ialah kerana memandangkan sesebuah masyarakat yang bersih dan suci daripada sebarang kejahatan dan kekejian akan dapat membangunkan anggota anggota yang bersih pemikirannya, balk percakapannya dan sempurna perbuatannya.

Di atas dasar inilah institusi pertama dan terpenting dalam sistem sosial Islam ialah rumah tangga, Islam menetapkan bahawa hubungan yang sah di antara laki laki dan perempuan hanyalah dengan ikatan perkahwinan. Melalui ikatan rumah tangga kesucian laki laki dan perempuan terjamin dan melalui jamman ini sesuatu rumah tangga itu akan memainkan peranan membina masayarakat kecil mereka sendiri, iaitu sebuah keluarga, dengan rasa penuh tanggungjawab. Suasana tanggungjawab dalam membina keluarga ini merupakan salah satu daripada sistem kawalan yang terbaik dalam sistem sosial Islam. la dikatakan sebagai sistem kawalan kerana melaluinya anak anak yang bakal mendirikan satu generasi baru dididik dan dilatih dengan akhlak dan nilai nilai yang ditetapkan oleh Islam. Kepincangan sistem sistem sosial yang selain daripada Islam banyak terletak kepada pengabaiannya terhadap peranan ibu bapa dan rumah tangga dalam mendidik dan melatih anak anak dengan nilai nilai yang baik.

Di samping itu, sistem sosial Islam pula menetapkan beberapa peraturan yang berteraskan kepada akhlak bagi menentukan hubungan hubungan di antara manusia di dalam masyarakat. Sifat sifat yang baik dinyatakan sejelas jelasnya, sementara sifat sifat yang buruk dikeji sekeras kerasnya agar sifat sifat yang buruk itu dibenci oleh anggota masyarakat. Untuk mengukuhkan ketegasan Islam terhadap sifat sifat yang buruk ini, maka di dalam masyarakat Islam sebahagian daripada perbuatan perbuatan yang terbit daripada sifat sifat yang buruk ini dianggap sebagai jenayah dan dikenakan hukuman hukuman hudud dan ta'zir.

Peraturan peraturan dan hukuman hukuman yang ditetapkan dalam sistem bermasyakarakat dan bernegara secara Islam adalah dengan tujuan untuk memelihara keluhuran akhlak anggota anggota masyarakatnya.

3.2.3 Menegakkan Keadilan Sosial

Seluruh kehidupan dalam masyarakat dapat dibahagikan secara kasar kepada dua bahagian utama, iaitu politik dan ekonomi. Sistem sosial Islam menegakkan keadilan sosial dengan menetapkan sistem sistem ekonomi dan politik yang seimbang dan lurus bertepatan dengan undang undang yang bersifat rabbani.

Islam sebagai al Din yang syumul, tidak seperti agama agama lain, mengendalikan keperluan masyarakat, cara cara untuk mendapat mata pencarian, cara cara menambahkan pendapatan serta menggunakannya. Dalam mengendalikan perkara perkara ini pula, Islam menetapkan sistem ekonomi yang tegak di atas dasar akhlak yang mulia. Semua kegiatan ekonomi dalam Islam berdasarkan kepada sikap ini, sistem ekonomi Islam membersihkan manusia daripada penyakit tamak dan haloba yang menjadi punca kepada segala masalah sosial yang berkaitan dengan harta dan kebendaan.

Keadilan sosial yang dijamin oleh sistem ekonomi Islam menetapkan tidak ada sesiapa pun dalam masyarakat yang mempunyai peluang sepenuh penuhnya untuk menghimpun kekayaan dengan mengabaikan dan merampas hak hak anggota lain di dalam masyarakat. Ke'adilan sosial ini menekankan kekayaan tidak hanya boleh berlegar di kalangan orang orang kaya sahaja, tetapi sebaliknya ia hendaklah dimanfa'atkan oleh semua anggota di dalam masyarakat melalui perniagaan dan jual bell.

Firman Allah yang mafhumnya:

"Supaya harta itu hanya beredar di antara orang orang kaya sahaja di antara kamu." (Al Hasyr: 7)

"Hai orang orang yang beri.man, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu." (An Nisa': 29)

Keadilan sosial dalam bidang ekonomi yang dijamin oleh sistem sosial Islam menetapkan pembahagian yang saksama terhadap peluang untuk mendapatkan kekayaan di kalangan semua anggota masyarakat. Dengan cara ini semua manusia yang dianugerahkan bakat dan kebolehan oleh Allah dapat menggunakannya untuk mendapatkan pendapatannya masingmasing. Mereka yang lebih berkeupayaan akan mendapat lebih dan mereka yang kurang berkemampuan akan mendapat kurang. Namun demikian tidak ada sesiapa pun yang dizalimi kerana masing masing diberi peluang yang sama terhadap bahan bahan dan sumber sumber yang boleh mereka usahakan. Di atas hakikat berbezanya daya kebolehan dan kemampuan manusia inilah, sistem sosial Islam menetapkan bahawa orang orang berkemampuan mengeluarkan zakat dan sedekah bagi mencukupkan dan membantu kehidupan orang orang yang kurang bernasib baik. Dengan ini keadilan sosial dalam bidang ekonomi yang direncanakan oleh sistem sosial Islam memastikan bahawa kekayaan mesti digunakan dan dimanfa'atkan untuk tujuan tujuan yang baik dan pada jalan yang ma'ruf, bukannya untuk kemungkaran atau hanya dihimpunkan kepada beberapa orang tertentu sahaja.

Bidang keadilan sosial yang menyangkut dengan politik pula berkisar di sekitar prinsip samaratanya semua manusia di sisi undang undang. Dalam sistem politik Islam tidak ada sesiapa yang duduk di atas undang undang. Pemerintah atau orang orang yang diperintah, sama ada muslim atau bukan muslim semuanya tertakluk kepada undang undang selagi mana ia menyangkut dengan kepentingan sosial.

Keadilan sosial dalam bidang politik juga memastikan bahawa pemerintahan bukan milik sesuatu golongan atau kumpulan dalam masyarakat. Pemerintahan tidak boleh diwariskan dan tidak pula boleh diwarisi oleh sesiapa. Tetapi pemerintahan adalah satu amanah orangorang Islam yang hanya diberikan kepada orang yang paling layak di atas dasar taqwa, ke'ilmuan dan kemampuan untuk memikulnya. Di atas dasar inilah setiap anggota masyarakat yang Islam berhak untuk memilih pemimpin mereka, menasihatinya dan menegur kekurangankekurangannya.

3.2.4 Melindungi Kebebasan Manusia

Kebebasan merupakan salah satu daripada hak hak asasi manusia. Kebebasan kebebasan yang dilindungi oleh sistem sosial Islam ialah kebebasan manusia beragama, kebebasan bersuara, kebebasan untuk mendapat pendidikan, dan kebebasan mencari dan memilih pekerjaan. Namun demikian dasar yang ditetapkan oleh sistem sosial Islam ialah tanggungjawab dan tugas menjaga keselamatan sosial lebih didahulukan daripada menuntut hak dan memenuhi kebebasan. Dasar ini ditetapkan agar segala penyelewengan terhadap kebebasan yang disalahertikan oleh mana mana anggota masyarakat yang boleh menggugat kepentingan awam serta keselamatan masyarakat dapat dihindarkan. Melalui dasar ini, sesuai dengan tujuan tertegakkan sebuah masyarakat Islam, setiap individu di dalam masyarakat diharapkan mempunyai kesedaran yang penuh untuk mendahulukan kepentingan negara dan masyarakat daripada mementingkan kepentingan peribadi.

4.0 POLITIK

Secara dasarnya, Islam dan politik tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan, kerana politik amat memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan intitusi Islam. Ianya melibatkan bagaimana sesebuah peradaban yang tinggi dan diredhai Allah dapat dibentuk dengan perpandukan Al-Quran dan Sunnah serta dibentuk melalui pemerintahan yang adil,amanah dan bertaqwa serta bagaimana sesuatu modal insan yang cemerlang itu dapat dibentuk dan dihasilkan. Sistem politik Islam telah dibentuk atas tiga tonggak menurut Sayyid Abdul A’la Al-Maududi menerusi terjamahan Ya'qub Muhammad Hussin Wan Salim Muhammad Nur dalam bukunya ‘Cara Hidup Islam’ iaitu:

i) Tauhid, iaitu menjalankan perundangan dan politik bersandarkan kepada Allah dengan sentiasa merujuk kepada hukum-hukum yang diselaraskan olehNya serta meletakkan kuasa pengadilan dan kedaulatan hukum tertinggi dalam system politik Islam hanyalah hak mutlak Allah.

i) Risalah, iaitu undang-undang yang disampaikan dan dijalankan adalah melalui perantaraan, iaitu sumber-sumber perundangan Ilahi. Yang pertama iaitu Al-Quran yang mengandungi undang-undangNya. Dan yang keduanya adalah melalui penghuraiannya yang diperkuatkan oleh Rasul selaku wakil Allah.

ii) Khilafah, iaitu wakil Allah dalam pemerintahan, yang mana sesebuah kerajaan atau politik Islam tidak dapat diuruskan tanpa mereka.

4.1 Politik pada zaman Rasulullah S.A.W dan para sahabat dan pandangan barat mengenainya.

Pada zaman nabi Muhammad S.A.W, baginda telah melaksanakan sistem pemerintahan yang berkesan dan cemerlang sehingga menjadi ikutan sistem-sistem pemerintahan yang lain. Dengan melihat kepada Piagam Madinah yang merupakan perlembagaan bertulis yang pertama dalam sejarah dunia, ianya cukup untuk menggambarkan kebijaksanaan dan keadilan baginda serta kecekapan pemerintahan dan politik Islam pada ketika itu. Dr. Shifferer, Dekan Fakulti Hukum, Universiti Wina menegaskan bahawa meskipun Muhammad itu seorang yang ummi namun ia mampu membawa syariat yang unggul dan bangsa Eropah memerlukan dua ribu tahun untuk boleh membuat perundangan sama dengannya. Kemudian sejarah politik Islam berterusan kepada para sahabat, di mana pada ketika itu, Khulafa Ar-Rashidin serta pemerintah-pemerintah Bani Umaiyah, Uthmaniah dan lain-lain menjalankan urusan politik Islam atas landasan syariat Islam serta penuh komited dalam menjaga kemaslahatan agama dan rakyat.

4.2 Politik Islam pada masa kini dan pandangan barat mengenainya

Islam adalah agama yang paling sering disalah tafsirkan, sama ada oleh orang bukan Islam, malah oleh orang Islam sendiri. Hakikat ini diakui oleh pemimpin dan ulama Islam – antaranya Allahyarham Sayyid Maulana Maududi (menerusi bukunya – Understanding Islam) dan bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir. Ketika berucap di Pusat Pengajian Oxford United Kingdom, Tun Dr. Mahathir berkata, “ Islam mungkin merupakan agama yang paling disalahertikan di dunia hari ini dan mungkin sepanjang sejarah. Islam bukan sahaja disalahertikan oleh orang bukan Islam tetapi juga orang Islam sendiri.”Pada masa kini, politik islam sentiasa berubah mengikut masa dan bagaimanakah pembawaannya oleh pemimpin atau pemerintah. Tetapi pada hari ini Islam telah dianggap sebagai agama politik oleh fahaman barat.

Kesalahfahaman ini juga berlaku dalam bidang politik, di mana islam telah disalahtafsirkan oleh pihak barat sebagai ‘agama politik’, iaitu agama yang disandarkan kepada politik semata-mata. Selain tu juga, Islam telah disalahtafsirkan oleh pihak barat sebagai agama yang menjaga kepentingan penganutnya sahaja. Ini bertentangan dengan apa yang kita sedia maklum bahawa Islam amat menjaga kepentingan semua pihak dan adil kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, warna kulit, dan agama. Ini dibuktikan dengan Piagam Madinah yang telah diterangkan sebelum ini, yang menunjukkan keadilan dan kesamarataan yang diamalkan oleh Islam kepada rakyat Madinah pada ketika itu.

Selain itu juga, pandangan orientalis barat cuba untuk menyalahtafsirkan politik Islam sebagai politik yang sekular, iaitu meletakkan agama semata-mata dalam sistem politik Islam. Ini bertentangan dengan dasar politik dan perundangan Islam yang memandang keseluruhan aspek kehidupan. Ini dirangkumkan dalam ayat Al-Quran yang menggesa umatnya supaya mencari keseimbangan antara dunia dan akhirat.

Namun yang demikian, terdapat juga pandangan yang positif yang dikemukakan oleh Barat. Ini diutarakan oleh Dr. Hocking Ketua Dekan Ilmu Falsafah Universiti Havard yang menegaskan, ‘kemajuan bagi negara-negara adalah setiap muslim harus mendapat sumber daya dan kemajuan dari agamanya. Islam mempunyai daya yang luar biasadalam dirinya. Islam juga menungguli dalam banyak hal apabila dibandingkan dengan syariat yang serupa. Halangan yang dihadapi selama ini adalah kerana tiada kemahuan untuk mempergunakan sumber-sumber kekuatan tersebut.’ Ini menunjukkan bahawa syariat-syariat yang terkandung sistem politik Islam masih mampu menjadi magnet positif yang memberikan perspektif yg positif kepada pihak Barat. Diharapkan agar perspektif positif yang masih ditimbulkan lagi ini dapat mengubah secara keseluruhan pandangan Barat terhadap Islam dari segi politik.

5.0 KESIMPULAN

Islam memandang betapa pentingnya sistem ekonomi, social, politik yang teguh untuk membina sesebuah masyarakat yang lengkap dengan menjamin kehidupan yang selesa di dunia dan akhirat.

Oleh yang demikian sistem ekonomi, sosial, politik yang teguh perlu untuk dijadikan teras dalam memperjuangkan kedudukan masyarakat islam dari pandangan barat. Keadaan ini sangat penting bagi masyarakat islam khususnya untuk meninggkatkan kedudukan sesebuah Negara islam di mata barat supaya mereka tidak lagi memandang serong kepada umat islam, Negara islam. Permulaanya, bermula dari seorang pemimpim yang inginkan masyarakat islam terus di pandang tinggi di mata dunia dengan kemajuan dari segala aspek terutamanya ekonomi, social, politik. Seterusnya , melalui proses inilah masyarakat islam terus maju dan berjaya dalam membina generasi ummah yang berjaya dunia dan akhirat.

6.0 RUJUKAN

Ustaz Ramli Awang. 2008. Tasawwur Rabbani Menurut Al-Qur'an dan Al-Sunnah.

Al-Hidayah Publication

Abd.Aziz Yusof dan Ahmad Bashir Aziz. Pengurusan perniagaan islam konsp,isu dan perlaksanaan. Penerbitan: uum

Shahriza bin Sulaiman. Ikim. Model sebuah ekonomi maju dari perspektif islam. cetakan pertama 2005.

Sayyid Abul A'la Maududi. Cara Hidup Islam.

Shaikh Abdullah Bin Hassan Mydin Abdullah & Dr. Issham Bin Ismail. Konsep Pembangunan Modal Insan Berkiblatkan Ajaran Islam

Ramli Awang. UTM. 2003. ISLAM Alternatif Perpaduan Sejagat. Penerbit UTM, Universiti Teknologi Malayasia

Ali Ahmad, Siti Hajar Che Man, Jelani Harun. 2005. Tasawwur Islam. Penerbit USM, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang

Ismail Ahmad. 1994. Horizon Baru dalam Pendidikan Islam. Kuala Lumpur: Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia.

0 ulasan: