BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, August 2, 2008

fiqh muamalt dan jenayat...2008

1. PENDAHULUAN

Secara amnya, akad dan Ahliyyah merupakan salah satu daripada cabang yang terdapat didalam fiqh Muamalat Islam dan akad juga merupakan salah satu cara pemilikan harta yang diharuskan dalam sistem Muamalat Islam. Ia menjadi satu perkara yang amat penting dalam kebanyakan aspek muamalat seperti jual beli,perkahwinan dan sebagainya. Malah ia juga merupakan salah satu syarat utama yang menjadikan sistem muamalat seperti jual beli itu sah disisi Islam.

Akad merupakan satu sistem komunikasi iaitu cara ataupun teknik untuk melaksanakan ijab dan qabul terhadap sesuatu perkara yang dipersetujui oleh beberapa individu manakala ahliyyah pula menerangkan kelayakan bagi bagi seseorang untuk melakukan muamalat yang sah dengan mengira beberapa aspek termasuk halangan-halangan yang menghalang seseorang dari melakukan muamalat.

Akad merupakan tanda persetujuan yang diikat oleh pihak-pihak yang terlibat dalam satu perjanjian ataupun jaminan terhadap sesuatu perkara. Ia digunakan dalam pelbagai aktiviti yang dijalani oleh manusia dalam kehidupan seharian.

Berdasarkan kepada pengertian akad itu sendiri kita difahamkan bahawa akad menjadi satu titik tolak kepada satu persetujuan yang diikat oleh individu-individu yang terlibat. Contohnya dalam urusan jual beli. Ia memerlukan lafaz akad bagi menunjukkan persetujuan kedua-dua belah pihak untuk melakukan jual beli. Manakala Al-Ahliyyah merupakan salah satu unsur dan keperluan utama yang ditetapkan dalam muamalah Islam. Keseluruhan tindakan dan pengurusan muamalah menuntut kepada kelayakan. Ia diperkirakan terhadap orang yang melaksanakan muamalah. Oleh itu kita seringkali berjumpa dengan syarat ahliyyah al-tassruff yang dikenakan terhadap orang yang ingin bermuamalah seperti dalam pembentukan akad, akidah atau dua pihak yang berakad mestilah berkeahlian dan berkelayakan.

2. DEFINISI AKAD

2.1. Bahasa :

Akad menurut bahasa ialah, berasal dari kalimah arab al-aqd kata jamaknya (uqud) yang bererti perikatan,perjanjian dan permuafakatan. Dalam konteks muamalat, akad bermaksud ikatan diantara dua individu terhadap sesuatu. Ia terdiri daripada dua unsur iaitu ijab dan qabul.[1]

2.2. Istilah :

Akad menurut istilah ialah, menurut para fuqaha’, terdapat dua pendekatan takrif yang dianjurkan:

§ Sebahagian fuqaha’ melihat ia merupakan salah satu ketetapan yang lahir dari kehendak satu atau dua pihak. Contohnya akad sumpah, talak, wakaf dsb.

§ Manakala sebahagian yang lain pula melihat ia sebagai satu ketetapan yang dilahirkan oleh kehendak dua pihak. Contohnya akad jual beli dan kahwin

Berdasarkan kedua-dua takrif di atas, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa dari persepsi Muamalat Islam pendekatan takrif istilah yang kedua adalah lebih tepat dan bersesuaian iaitu ketetapan yang melibatkan antara kedua belah pihak.[2]

3. RUKUN AKAD

3.1) Menurut jumhur ulama` rukun akad terdiri daripada tiga perkara yang penting iaitu :

  1. Sighah yang terdiri daripada lafaz ijab dan qabul.
  2. Pihak yang berakad yakni penjual dan pembeli.
  3. Objek atau benda yang diakadkan.

3.2) Manakala menurut ulama` mazhab Hanafi, rukun akad hanyalah sighah akad sahaja yakni ijab dan qabul. Manakala orang yang berakad dan objek tidak termasuk dalam rukun.[3]

4. SYARAT-SYARAT IJAB DAN QABUL

Kedua-dua ijab dan qabul hendaklah sesuai dengan syariat yakni ia dilakukan oleh dua pihak tersebut dengan menepati syara`. Ia merupakan sighah yang perlu kepada beberapa perkara iaitu :

  1. Maksud lafaz sighah hendaklah terang dan jelas serta mudah difahami oleh kedua-dua pihak iaitu penjual dan pembeli.
  2. Sighah hendaklah sesuai dengan ijab dan qabul dan tidak ada unsur-unsur penipuan.
  3. Ia menggambarkan persetujuan diantara kedua-dua belah pihak dengan kerelaan bukan paksaan dari mana-mana pihak.
  4. Dilakukan oleh mereka yang mempunyai keahlian atau kelayakan iaitu waras dan mumaiyiz dan beberapa ciri-ciri yang lain.
  5. Ijab dan qabul hendaklah berturutan dalam satu majlis dan tidak ada selingan antara kedua ijab dan qabul.

5. BENTUK-BENTUK LAFAZ IJAB DAN QABUL

Lafaz ijab dan qabul terbahagi kepada beberapa bentuk yang telah dipersetujui oleh fuqaha’ iaitu:

1) Perkataan :

Lafaz ijab dan qabul menunjukkan pada kehendak kedua-dua pihak secara pasti dan tidak ragu-ragu.Ia bermaksud kedua-dua belah pihak bersetuju untuk melakukan akad terhadap sesuatu perkara melalui percakapan.

2) Tulisan :

Ijab dan qabul boleh berlaku dalam bentuk tulisan yakni dengan menulis penyataan ijab dan qabul sebagai tanda persetujuan keatas satu ikatan perjanjian. Namun,ia mestilah memenuhi syarat-syarat ijab dan qabul.

Ulama` telah menetapkan dalam satu kaedah fiqh yang membolehkan tulisan dalam ijab dan qabul. “Tulisan itu sama dengan ungkapan lisan” Kekuatan hukum dan kesahihannya sama dengan hukum ungkapan secara lisan

3) Perbuatan

Lafaz Ijab dan qabul melalui perbuatan berbeza sedikit dimana ia adalah secara melakukan sesuatu perbuatan yang menunjukkan kehendak untuk melakukan akad.

Menurut ulama` Mazhab Syafie`(qadim) akad secara perbuatan tidak sah kerana akad hanya berlaku apabila kedua-dua belah pihak menyatakan persetujuan dengan lafaz yang terang dan jelas.

Manakala menurut jumhur ulama` akad secara perbuatan dibolehkan kerana ia merupakan satu kebiasaan di kalangan masyarakat di kebanyakkan negara Islam.Ia juga merupakan satu kemaslahatan bagi umat Islam.

4) Isyarat :

Iaitu cara atau kaedah ijab dan qabul yang dinyatakan dengan menggunakan isyarat tangan untuk membeli atau menjual sesuatu barang yang dikehendaki oleh seseorang.

Kaedah akad seperti ini hanyalah dilakukan oleh orang yang tidak berkemampuan untuk melakukan akad secara percakapan seperti orang bisu atau pekak.

6. PEMBAHAGIAN AKAD

Akad telah terbahagi kepada beberapa sudut iaitu :

Dari sudut kesahihan terbahagi kepada dua :

I. Akad yang sahih : Ia bermaksud sesuatu akad yang dialakukan itu memenuhi dan menepati rukun dan syarat akad. Contohnya sesuatu akad yang dapat difahami maksud dan tujuan akad serta berlakunya persetujuan antara dua orang dengan lafaz ijab dan qabul terhadap sesuatu ikatan perjanjian. Menurut Ulama` mazhab Hanafi dan Maliki, akad sahih ini terbahagi kepada dua:

i. Akad yang nafiz : Akad yang lengkap dengan rukun dan syarat tanpa ada sebarang halangan untuk melaksanakannya seperti tidak wujudnya ragu-ragu atau syak dalam persetujuan akad.

ii. Akad yang mauquf : Akad yang dilakukan oleh seseorang yang tidak memiliki kekuasaan untuk melaksanakan akad seperti akad yang dilakukan oleh kanak-kanak yang mumaiyiz hanya sah apabila jual beli itu diizinkan oleh wali kanak-kanak tersebut.

II. Akad yang tidak sahih : Ia bermaksud satu akad yang terdapat kekurangan pada rukun dan syarat. Sekiranya satu akad tidak memenuhi salah satu atau kesemua daripada rukun dan syarat akad, maka akad itu tidak dikira sah. Contohnya, jika sesuatu ijab tidak disusuli dengan qabul maka akad itu tidak dikira lengkap.Menurut ulama` mazhab Hanafi, akad tidak sahih ini terbahagi kepada dua jenis iaitu :-

i. Akad yang batil yakni tidak memenuhi salah satu rukun, contohnya barang yang dijual itu tidak jelas seperti menjual ikan yang masih berada dalam laut.

ii. Akad yang fasid yakni sesuatu akad yang pada dasarnya disyariatkan tetapi sifat yang benda yang diakadkan itu tidak jelas. Contohnya menjual sesuatu benda yang tidak dinyatakan sifat sehingga menimbulkan perselisihan antara penjual dan pembeli. Jual beli hanya sah apabila unsur-unsur fasid ini dihilangkan dengan menyatakan sifat-sifat barang yang hendak diakadkan.

iii. Menurut jumhur ulama` fiqh, akad yang batil dan fasid adalah sama dan hukum bagi kedua-duanya adalah tidak sah.

7. AL-AHLIYYAH

Al-Ahliyyah merupakan salah satu unsur dan keperluan utama yang ditetapkan dalam muamalah Islam. Keseluruhan tindakan dan pengurusan muamalah menuntut kepada kelayakan. Ia diperkirakan terhadap orang yang melaksanakan muamalah. Oleh itu kita seringkali berjumpa dengan syarat ahliyyah al-tassruff yang dikenakan terhadap orang yang ingin bermuamalah seperti dalam pembentukan akad, akidah atau dua pihak yang berakad mestilah berkeahlian dan berkelayakan.

8. DEFINISI AHLIYYAH

8.1. Dari segi bahasa ialah:

الأهليه في اللغة هي الصلاهية

Ahliyyah dari segi bahasa bermaksud kesesuaian(salahiyyah)

8.2. Dari segi istilah ahli fiqh ialah:

الأهليه هي صلاهية الاءنسان لوجوب الحقوق المشرعة له أو عليه

Ahliyyah ialah kesesuian seseorang untuk disabitkan hak baginya dan hak yang wajib ke atasnya serta kesahihan tindakannya.[4]

9. JENIS/KATEGORI

Kelayakan atau al-Ahliyyah terbahagi kepada dua jenis iaitu kelayakan wajib (ahliyyah wujub) dan melaksanakan tugas (ahliyyah a’da).[5]

9.1. Kelayakan wajib (Ahliyyah al-Wujub)

Iaitu kesesuaian seseorang untuk mengenakan tanggungjawab dan mengambil tanggungjawab atau mensabitkan hak-hak baginya seperti memperolehi hak bayaran harga ke atas hartanya yang dirosakkan, atau mensabitkan hak yang wajib ke atas mereka seperti menunaikan tanggungjawabnya membayar harga barang yang dijual dan gantian kepada pinjaman. Ini bermakna keahlian ini mempunyai unsur positif dan negatif. Unsur positif ialah kesesuian untuk memperolehi hak seperti dia merupakan pemberi hutang iaitu unsur mengenakan kewajipan atau unsure menuntut hutang. Manakala unsur negatif pula ialah kesesuaian menanggung kewajipan atau tanggungjawab seperti seseoarang yang berhutang bertanggungjawab menaggung hutangnya.

Setia manusia sehingga janin dalam perut ibunya pun mempunyai kelayakan wajib. Jadi ahliyyah pada pandangan fiqh bermula sejak awal permulaan hidup seseorang. Ia menjadi sifat yang sentiasa berada bersama dengan seseorang dan menjadi salah satu sifat yang sentiasa ada bersama dengan seseorang dan menjadi salah satu ifat keperibadiannya. Sifat keperibadian sesorang mengikut fiqh bermula sejak pembentukan janin dan berakhir dengan kematiannya.

Dalam undang-undang sivil keperibadian bermula apabila lahir dengan sempurna dalam keadaan hidup dan berakhir dengan kematiannya(perkara 31).

Asasnya ialah kehidupan atauun diistilahkan oleh fuqaha dengan zimmah iaitu tanggungan yang dikenakan kerana wujud atau hidupnya mereka. Oleh yang demikian semua peringkat manusia termasuk janin, kanak-kanak,orang gila dan sebagainya mempunyai kelayakan ini selama mana mereka hidup kerana yang diperkirakan ialah kehidupan mereka bukan akal mereka. Jadi unsur yang diambil kira ialah unsur fizikal bukan akal mereka.

Ahliyyah wujub terbahagi kepad dua jenis iaitu naqisah (tidak sempurna) dan kamilah (sempurna).[6]

9.1.1 Ahliyyah wujub yang tidak sempurna

Ahliyyah wujub yang tidak sempurna ialah kesecian seseorang untuk disabitkan hak baginya sahaja. Ertinya dia hanya bersedia bertanggungjawab menjadi si piutang bukan orang yang berhutang. Bagi maalah harta ianya hanya berlaku pada hak-hak yang tidak memerlukan qabul seperti warisan, wasiat dan wakaf. Tidak sabit dengan hak yang memerlukan qabul seperti jual beli, hibah, sewaan dan sebagainya. Peringkat manusia yang hanya ada kelayakan ini hanyalah janin aiatu hak tersebut sabit semasa ia dikandung tetapi penimaannya tergantung sehingga ia dilahirkan hidup barulah diserahkan.Hak itu tidak tertakluk kepada penerimaan. Hak ini ada empat jenis iaitu:

(i) Nasab kepada kedua ibu bapanya.

(ii) Pusaka dari kaum kerabatnya. Habuannya sama ada banyak atau sedikit bergantung kepada sama ada dia leaki atau perempuan.

(iii) Berhak mendapat apa yang diwasiatkan kepadanya.

(iv) Berhak mendapat habuan daripada hasil wakaf yang diwakafkan untuknya.

Kesimpulannya janin mempunyai tanggungan (dhimmah) yang tidak sempurna yang hanya membolehkan dia memperoleh beberapa hak sahaja. Dia tidak mempunyai tanggungjawab (dhimmah) yang sempurna yang dapat memperolehi segala hak, kewajipan dan tanggungjawab.

9.1.2. Ahliyyah Wujub yang sempurna.

Kelayakan menerima hak yang sempurna. Ianya berbeza dengan naqisah dri sudut penerimaan haknya adalah sempurna iaitu terus menerus tanpa tergantung dengan keadaan tertentu. Peringkat manusia yang ada kelayakan ini ialah yang baru dilahirkan hingga ke hujung hayat.

9.2. Ahliyyah al-Ada’

Iaitu kelayakan melaksankan atau menunaikan pengurusan syar’iyyah. Iaitu pengurusan yang memberi kesan hukum hakam samaada sah dan batal, mahupun halal dan haram. Asasnya ialah akal yang yang mana unsure mental diperkirakan disini. Ianya juga terbahagi kepa dua iaitu Ahliyyah al-Ada’ al-Naqisah dan Ahliyyah al-Ada’ al-Kamilah.

9.2.1. Ahliyyah al-Ada’ al-Naqisah

Iaitu kelayakan melaksanakan yang tidak sempurna. Iaitu kelayakan melaksanakan sesuatu pengurusan atau tindakan diberikan tetapi tidak kesemuanya boleh dilaksanakan secara bersendirian. Ia mesti bergantung dengan pihak yang lain iaitu wali. Peringkat manusia yang ada kelayakan ini ialah mumayyiz. Mereka ada kelayakan menerima dengan sempurna tetapi kelayakkan melaksana tidak sempurna. Tasarrufnya terbahagi kepada tiga keadaan berdasarkan kemanfaatannya dan kemudharatannya yang boleh berlaku:

a) Akad yang boleh dilaksanakan secara bersendirian tanpa keizinan walisekiranya ia hanya mendatangkan manfaat atau tiada risiko kepadanya seperti menerima hibah atau sedekah.

b) Akad yang tidak boleh dilaksanakan meskipun dengan keizinan wali sekiranya ia hanya membawa kemudaratan seperti mendermakan hartanya atau menceraikan isterinya.

c) Akad yang perlu keizinan wali apabila ada risiko atau kabaikan dan kemudaratan sama bayak seperti jual beli, mudarabah dan sebagainya.

9.2.2. Ahliyyah al-Ada’ al-Kamilah.

Iaitu kelayakan melaksana dengan sempurna. Iaitu kelayakan melaksana sesuatu pengurusan atau tindakan adalah bebas mengikut kehendaknya, meskipun ada risiko dia sendiri yang akan menaggungnya. Kelayakan ini diberikan pada peringkat baligh dan rushd.

10. PERINGKAT-PERINGKAT AHLIYYAH

Daripada apa yang dibincangkan diatas, jelaslah bahawa kelayakan seseorang adalah bermula dari awal kehidupannya dalam perut ibunya sehingga sempurna kedewasaannya dan berjalan dalam lima peringkat janin, kanak-kanak, mumayyiz, baligh dan matang(Rusyd).[7]

1. Peringkat Janin

Iaitu peringkat permulaan manusia dalam kandungan sehingga dilahirkan.

2. Peringkat kanak-kanak.

Selepas dilahirkan sehingga peringkat hampir mumayyiz.

3. Peringkat mumayyiz.

Iaitu peringkat kanak-kanak yang dapat memahai percakapan dan membalasnya serta dapat memahami secara umum maksud akad jual-beli dan tahu membezakan antara baik dan buruk.Kebanyakkan fuqaha meletakkan asas umur 7 tahun. Sekiranya sudah melebihi 7 tahun tetapi masih belum mengerti dan memahami perkara diatas maka masih dianggap belum mumayyiz.

4. Peringkat baligh

Iaitu peringkat sampai umur dan berakal. Samaada dengan tanda-tanda semulajadi yang tertentu bagi lelaki dan perempuan atau mencapai umur 15 tahun bagi jumhur.

5. Peringkat matang (Rusyd).

Iaitu peringkat manusia mencapai kecerdikan dan kematangan selepas baligh.

11. HALANGAN-HALANGAN

Di dalam ahliyyah terdapat beberapa halangan (awarid al-Ahliyyah) yang boleh menghilangkan kelayakan kewujudannya akan menghalang seseorang dari membuat transaksi dan mengurus harta dalam beberapa keadaan tertentu. Kategori halangan:

1. Halangan samawiyah. Iaitu halangan yang telah menjadi ketentuan syarak, bukan akibat hasil usaha manusia. Antaranya:

1. kanak-kanak: belum mumayyiz dan mumayyiz.

2. Gila. Samaada gila berterusan atau gila terputus-putus.

3. Dungu. Cacat kefahamannya (mat’uh)

4. Nyanyuk. Sama kedudukannya dengan orang gila ketika nyanyuknya.

5. Pengsan atau pitam. Pengsan ialah berhentinya daya kefahaman yang sentiasa

Bergerak dalam bentuk gerakan kehendak kerana penyakit otak atau jantung.

6. Tidur. Tidur merupakan proses biasa (tabii) yang berlaku terhadap manusia

pada masa-masa tertentu samaada secara teratur ataupun tidak teratur.

7. Marad al-maut. Sakit yang tiada harapan untuk sembuh dan kesedahannya mati.

8. Mati.

2. Halangan Muktasabah. Iaitu halangan yang lahir hasil dari tindakan atau usaha manusia. Antaranya:

1. Jahil. Ada keupayaan mengetahui tetapi tidak tahu.

2. Bodoh atau safih. Tidak pandai urus sesuatu perkara seperti mengurus harta

dengan cara yang sepatutnya.

3. Mabuk. Keadaan yang berlaku ke atas seseorang di mana otaknya dipenuhi

dengan gas-gas yang naik ke otak. Dalam hal itu otaknya tidak dapat membuat

perbezaan diantara yang baik dengan yang buruk.

4. Murtad. Keluar dari agama dengan kerelaan sendiri tanpa paksaan mana-mana

pihak.

5. Muflis. Hutang melebihi harta.

12. ISU/KHILAF 4 MAZHAB

Hubungan kemasyarakatan, menurut pendapat Abu Hanifah dan Abu Yusuf adalah seperti nafkah keluarga yang susah dan juga zakat fitrah. Begitu juga zakat harta menurut pendapat ulama yang lain daripada hanafi bagi menjaga maslahat orang miskin dan orang yang memerlukan bantuan serta maslahat masyarakat seluruhnya. Ini merupakan pendapat yang paling sesuai dan paling baik serta perlu diamalkan terutamanya pada masa kita sekarang ini.

Manakala golongan ulama’ Hanafi tidak mewajibkan zakat pada harta kanak-kanak kecil kerana zakat merupakan “ibadah harta” dan kanak-kanak tidak diwajibkan dengan apa-apa kewajipan agama kecualilah mereka mencapai umur baligh.[8]

13. PENUTUP

Ijab dan qabul memainkan peranan yang penting dalam kehidupan bermuamalat dan mengesahkan muamalat yang dijalankan mengikut konsep yang tertentu agar tidak berlaku kecacatan ataupun ketidakadilan kepada mana-mana yang mengundang kezaliman dan penindasan kepada orang yang lemah ataupun jahil. Al-ahliyyah telah melengkapkan lagi konsep ini dengan menerangkan orang yang berkelayakan sahaja yang boleh menjalankan muamalat dan menerangkan halangan yang menyebabkan seseorang itu hilang kelakan untuk bermuamalat.

Ini menunjukkan betapa syumulnya Islam dalam membina acuan kehidupan umatnya agar terus hidup dengan harmoni dalam membina sistem muamalat yang maju dan kemajuan ini akan maju dan terus maju jika acuan yang dina oleh Islam ini di ikuti secara keseluruhannya oleh umat Islam pada masakini.

RUJUKAN

1. Wahbah al-Zuhaili.Penterjemah:Syed Ahmad Syed Hussain et al.2005. Fiqh Dan

Perundangan Islam Jilid IV. Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

2. Mausu’at al-Fiqiah al-Juz’ul awal. Waradat al-Waqaf wasyu’unal Islamiah, Kuwait.

3. Hukum-Hukum Islam, Cetakan Pertama Pt. Bulan Bintang. Prof. Dr. T. M. Hasbi As-Siddiq.

4. Al-Mughni, Syekh Iman Alamah Ibnu Qadamah

5. Al-Hawasyi, Syekh Abd Hamid Syarwani dan Syekh Ahmad bin Qasim Al-Abari, 1998.

6. Ensiklopedia Hukum Islam



[1] Ensiklopedia Hukum Islam

[2] Prof. Dr. T. M. Hasbi As-Siddiq. Hukum-Hukum Islam Cetakan Pertama Pt. Bulan Bintang

[3] Ensiklopedia Hukum Islam.

[4] Mausu’at al-Fiqiah al-Juz’ul awal. Waradat al-Waqaf wasyu’unal Islamiah, Kuwait

[5] Wahbah al-Zuhaili.Penterjemah:Syed Ahmad Syed Hussain et al.2005. Fiqh Dan Perundangan Islam

Jilid IV. Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

[6] Wahbah al-Zuhaili.Penterjemah:Syed Ahmad Syed Hussain et al.2005. Fiqh Dan Perundangan Islam Jilid IV. Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

[7] Wahbah al-Zuhaili.Penterjemah:Syed Ahmad Syed Hussain et al.2005. Fiqh Dan Perundangan Islam Jilid IV. Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

[8] Wahbah al-Zuhaili.Penterjemah:Syed Ahmad Syed Hussain et al.2005. Fiqh Dan Perundangan Islam Jilid IV. Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

3 ulasan:

hana said...

slm.blh x explain lbihlanjut psl halangn muktasabah-kejahilan,tersalah,bodoh,mabuk,paksaan

hana said...

t.kasih.slm..

Syazwan said...

As'salam, penulisan yg baik dan ada references untuk di tgk. tp boleh x penulis bagi pilihan untuk menutup muzik kt blog ni. terima kasih :D